Showing posts with label Rumahtangga. Show all posts
Showing posts with label Rumahtangga. Show all posts

Monday, November 8, 2010

Untuk Suami

Wanita mana yang tidak mendambakan seorang lelaki yang kelak dapat menjadi sandaran hidupnya, mampu membimbing dan mendidiknya untuk menjadi wanita terbaik dan solehah bukan saja hanya untuk suaminya, tetapi terbaik untuk Allah subhanahu wata’ala. Suami yang selalu memotivasinya untuk beribadah kepada Allah subhanahu wata’ala dan selalu istiqamah di jalan-Nya. Maka tentunya panduan di bawah ini perlu diketahui oleh para kaum lelaki yang ingin menjadi suami idaman bagi isteri-isterinya. Di antaranya adalah:

1. Hendaklah seorang suami sentiasa bertakwa kepada Allah subhanahu wata’ala dalam mempergauli dan memperlakukan isterinya. Kerana ia adalah amanah yang akan dipertanyakan oleh Allah subhanahu wata’ala pada hari Kiamat. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, "Perlakukanlah wanita-wanita itu dengan baik". (Muttafaq 'alaih). Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam melarang berbuat zhalim terhadap wanita. Sebagaimana beliau shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berdo'a, "Ya Allah sesungguhnya aku akan menjadi penghalang (orang yang menzhalimi) hak dua golongan yang lemah, yakni: Anak yatim dan wanita." (HR. Ibnu Majah dengan sanad hasan). 
  
2. Hendaklah seorang suami memiliki perangai dan tabiat yang mulia. Janganlah ia mencaci isterinya, menjelek-jelekkannya, dan mendiamkannya.  Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, "Janganlah seorang mu'min membenci seorang mu'minah, jika ia tidak menyukai suatu perangai nya, maka ia akan menyukai perangai yang lain dari dirinya." (HR. Muslim). 

3. Hendaklah seorang suami banyak bersabar dan baik dalam bermu'amalah dengan isterinya. Maka sebaik-baik kalian adalah yang menjaga persahabatan dan kasih sayang! Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, "Sebaik-baik kalian adalah yang terbaik terhadap keluarganya, dan aku adalah sebaik-baik kalian kepada keluargaku". (HR. Ibnu Majah) 

4. Hendaklah seorang suami memiliki sifat cemburu terhadap isterinya, tetapi tidak berlebihan, sehingga berburuk sangka kepadanya. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, "Apakah kalian merasa kagum/hairan dengan ghirah (rasa cemburu)nya Sa'ad? Sungguh aku lebih cemburu darinya, dan Allah lebih cemburu dariku." (HR.Muslim). 

5. Hendaklah seorang suami bersikap lemah lembut dan bijaksana dalam menyikapi kesalahan dan kekeliruan. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, "Sesungguhnya tidaklah kelembutan itu ada pada sesuatu, melainkan ia akan membuatnya menjadi indah, dan tidaklah kelembutan itu hilang dari sesuatu, melainkan ia akan memperbu-ruknya." (HR. Muslim). Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda, "Sesungguhnya Allah Maha lembut, Dia menyukai kelembutan di dalam semua perkara." (HR. Al-Bukhari dan Muslim). 

6. Hendaklah seorang suami memberikan nafkah kepada isterinya dengan ma'ruf (layak). Sebagaimana Allah subhanahu wata’ala berfirman, ertinya, "Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal." (QS. Al-Isra': 29) (maksudnya: tidak kurang dan tidak berlebihan.) 

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya, apa hak isteri yang wajib dipenuhi oleh suami? Lalu beliau shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab, "Kamu memberi makan kepadanya, jika kamu makan. Dan kamu memberi pakaian untuknya, jika kamu memakai pakaian. Dan janganlah kamu memukul wajah, menjelek-jelekkannya, dan jangan pula kamu mendiamkannya kecuali di dalam rumah." (HR. Ahmad dan Abu Daud).

7. Hendaklah seorang suami mempelajari fiqih kewanitaan sehingga ia mengetahui cara menggauli isterinya saat haidh dan nifas, dan hendaklah ia mengajarkan kepada isterinya tentang masalah tersebut, jika ia belum mengetahuinya. 

8. Hendaklah seorang suami mengerti, bahwasannya tidak boleh baginya berhubungan (bersetubuh) dengan isterinya waktu haidh, dan tidak pula pada duburnya. Dan dibolehkan baginya untuk bermesra-mesraan dengannya waktu haidh, kecuali melakukan jima' (bersetubuh), kerana hal tersebut diharamkan. Allah subhanahu wata’ala berfirman, ertinya, "Mereka bertanya kepadamu tentang haidh. Katakanlah:"Haidh itu adalah suatu kotoran". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haidh; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintakan Allah kepadamu. Sesung guhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri. Isteri-isterimu adalah (seperti) tanah tempat kamu bercocok tanam, maka datangilah tanah tempat bercocok-tanammu itu bagai mana saja kamu kehendaki. Dan kerjakanlah (amal yang baik) untuk dirimu, dan bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah ahwa kamu kelak akan menemui-Nya. Dan berilah kabar gembira orang-orang yang beriman." (QS. Al-Baqarah: 222-223) Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, "Allah subhanahu wata’ala tidak memandang seorang lelaki yang menggauli lelaki lain atau seorang wanita melalui dubur". (HR. At-Tirmidzi, dishahihkan oleh Al-Albani). 

Di antara etika melakukan jima': Memulai dengan basmalah (membaca bismillah dan berdo'a), bersenda gurau, berpelukan, mencium sebelum melakukannya. Kerana hal itu lebih dapat memberikan kepuasan bagi suami dan isteri. Dan jika seorang suami telah selesai menunaikan hajatnya, maka hendaklah ia tidak tergesa-gesa (menyudahinya), sehingga si isteri pula mendapatkan haknya. Dan barangsiapa yang ingin mengulanginya (jima'), maka hendaklah ia membasuh kemaluannya, lalu berwudhu. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, yang ertinya, "Jika salah seorang di antara kalian akan menyetubuhi isterinya mengucapkan (berdoa), "Dengan nama Allah, Ya Allah! Jauhkan kami dari setan, dan jauhkan setan untuk mengganggu apa yang Engkau rezekikan kepada kami. Maka nescaya syaitan tidak akan mencelakakan anak (hasil) dari keduanya selama-lamanya."(Muttafaq 'alaih). Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, "Jika salah seorang di antara kalian menyetubuhi isterinya, kemudian hendak mengulangi, maka hendaklah ia berwudhu." (HR. Muslim) 

9. Hendaklah seorang suami menjauhkan diri dari menyebarluaskan rahsia-rahsia hubungan suamiisteri. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, "Sesungguhnya di antara manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah subhanahu wata’ala pada hari Kiamat adalah seorang suami yang menggauli isterinya, dan isterinya menggaulinya, kemudian ia sebarkan rahsia isterinya." (HR. Muslim).

Suatu ketika dikatakan kepada sebagian orang-orang soleh yang ingin menceraikan isterinya, "Apa yang membuatmu ragu kepada isterimu?" Lalu ia menjawab, "Orang yang berakal tak akan membuka rahsia." Maka tatkala ia telah menceraikannya, ia pun kembali ditanya, "Mengapa kamu menceraikannya?". Lalu ia pun menjawab, "Apa urusanku/ hakku dengan istdri orang lain?" 


Mudah-mudahan panduan di atas dapat menjadi nasihat berharga untuk para suami dan para calon suami yang ingin menjadi idaman para isteri. Dan semoga Allah subhanahu wata’ala senantiasa memberi kan taufiq-Nya kepada kita semua. 

Sumber: Dialihbahasakan dari buletin “Baaqotu wardin wa Nisrin, Muhdatun Likulli ‘Arusain”, Min al-Qism al’Ilmy Bi Daril-Wathan. (Oleh: Abu Nabiel) 


http://bertahajudlah.blogspot.com

Saturday, October 30, 2010

Punca-punca Anak Derhaka

Sabda nabi saw, "Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)." dimana yang nak dipukul tu? tapak kakinya..... bukan muka, punggung, telinga dan ditempat-tempat yang sensitif.... itu salah....

"Jika dia bijak dan menang dalam sebarang pertandingan sekolah, ucapkan tahniah. Tidak salah kita cium atau peluk mereka sebagai tanda penghargaan.Kala umur mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan. Tetapi selalunya usia beginilah ibu bapa mula merenggangkan hubungan dan ini menyebabkan anak derhaka".

Yang penting anak-anak harus dilatih sembahyang jemaah bersama, latih cium tangan dan peluk penuh kasih dan sayang, maka mereka tidak akan tergamak menderhaka.

"Saya pernah tinjau, anak-anak yang lari daripada rumah, berpunca daripada rasa bosan. Belum sempat letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan rumahnya. Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka di rumah. Yang penting dia balik ke rumah suka, dan pergi sekolah pun seronok.

"Mungkin ibu bapa punya alasan tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk. Kita boleh cuba cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah tidur, pergi bilik dan cium dahinya. Hubungan rohani tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup,".

Jangan kita tunjuk sikap kita yang panas baran, pemarah dan ada kuasa veto kepada mereka, jangan suka mengherdik mereka dengan perkataan bodoh, kurang ajar, sumpah seranah dan sebagainya yang merupakan doa kepada mereka".. inilah yang menyebabkan mereka derhaka kepada kita...

DOA ANAK-ANAK TERMAKBUL

Lazim orang tua, pantang anak menegur walaupun tahu mereka bersalah. Jangan rasa tercabar kerana pesan orang tua-tua, bisa ular tidak hilang walau menyusur di bawah akar.

Sayyidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima. Begitu juga dengan Rasulullah, kalau berjumpa anak-anak kecil, Baginda cukup hormat dan sayang sebab anak-anak tidak berdosa. Lagipun kanak-kanak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah.

Perasaan anak juga mesti dihargai, sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak. Kalau menegur pun dengan ekor mata dan herdikan. Si anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka mengadu bila jumpa kawan baik tidak mengapa, tetapi jumpa yang samseng, ia sudah tentu membawa padah.

BERTAUBAT SEBELUM MELARAT


Jika Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat. Tetapi apa caranya jika orang tua telah meninggal sedangkan sewaktu hidupnya kita derhaka dan melawan mereka?

Bila insaf, selalulah ziarah kubur emak ayah kita dan bacakan ayat-ayat suci untuknya. Jumpa semula kawan-kawan baik ibu atau jiran-jiran yang masih hidup dan buat baik dengan mereka. Sedekah ke masjid atas nama ibu ayah. Walaupun ibu ayah sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu redha dan Allah ampunkan dosa.

Allah maha pengampun dan luas rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat kemudian bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala turun. Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Misalnya tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, selidik apa salah yang telah kita buat hari ini. Pertama bagaimana hubungan kita dengan Tuhan, jika semuanya baik turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan dengan ibu?

"Pastikan hubungan dengannya sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalinkan hubungan yang baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita."

HUBUNGAN DENGAN BAPA


Lazim ibu yang dilebihkan, sedangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak-anak. "Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, nabi suruh utamakan ibu dahulu. Tiga kali ibu barulah sekali kepada bapa".

"Bagaimanapun sebaik-baiknya, kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati.Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan di depan mereka. "Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak ambil kira kata-kata mereka tetapi kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua."

USAH DERHAKA KEPADA MENTUA


"Mentua mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri. Kalau mereka kecil hati, samalah seperti tersinggungnya hati emak. Kita sayang anaknya kenapa tidak sayang orang yang melahirkannya juga?"

"Saya tahu, ada menantu kecil hati dan pendam perasaan terhadap mentua yang terlalu ambil berat tentang anaknya. Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung," jelasnya.

Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah , kedua rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri. Isteri kena faham, kalau dia sayang dan melebihkan ibu bapa, itu memang wajar.

"Sebaliknya anak perempuan, yang pertama Allah, kedua rasul dan ketiga suami. Jalan pintas ke syurga bagi anak-anak selain Allah adalah emak dan ayahnya. "Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu. Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail,suatu hari, Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah isterinya pun tidak kenal dengan mentuanya. "Menantu berkasar menyebabkan Nabi Ibrahim kecil hati. Dan sebelum balik dia berpesan kepada menantunya suruh suaminya tukar alang rumah kepada yang baru. Bila Nabi Ismail balik isterinya pun menggambarkan rupa lelaki tersebut menyampaikan pesan. Nabi Ismail sedar itu adalah ayahnya. "Nabi Ismail insaf di sebalik simbol kata-kata ayahnya, bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan. "Nabi Ismali berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu. Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat dan menantunya melayan dengan bersopan santun walaupun tidak kenal siapa Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim tertarik hati dan sebelum balik berpesan lagi, katakan alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain." bukan saya nak bawa kisah ni untuk mudah orang nak bercerai dak pakat elok-elok.... 

sekian

wallahua'lam.... sehingga berjumpa lagi....

Sedutan dari ceramah Dr. Fadhilah Kamsah

Thursday, October 14, 2010

Tips Dan Doa Untuk Membentuk Peribadi Anak


Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan seperti berikut. Doa mestilah disusuli dengan tindakan yang hikmah dalam cara kita membentuk peribadi anak.

1.Selalu amalkan baca 'Ya Latif' sebanyak tujuh kali dan hembuskan di kepala anak sewaktu mereka sedang atau hendak tidur.

2.Banyak bersabar dan yang utama,jangan cepat melenting jika anak melakukan sesuatu yang di luar dugaan.Cuba berbicara dengan baik dan gunakan kaedah memujuk.

3.Banyakkan berdoa kepada Allah dan minta dilembutkan hati anak-anak.

4.Bila bangun pagi, peluk anak sebanyak tiga kali,usap kepalanya dan berselawat sambil berniat dalam hati(bergantung pada niat kita untuk di anak).

5.Baca Surah al-Fatihah,surah Taha ayat 1 sehingga 5,diikuti doa Nabi Daud sebanyak 3 kali.Doanya,"Ya Allah,lembutkanlah hati anakku(sebut namanya),seperti mana Engkau lembutkan Nabi Daud akan besi.(sebut namanya)."Kemudian hembuskan pada makanan dan minuman.Kalau anak masih menyusu,hembuskan pada susu.

6.Untuk membantu anak mudah belajar dan menelaah pelajaran,baca zikir Ya Latif sebanyak 129 kali diikuti ayat 19 daripada surah as-Syura bermaksud"Allah Maha Lembut kepada hamba-Nya;Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki,dan Dialah Yang Maha Kuat,Lagi Maha Kuasa"Sebaik-baiknya dibaca selepas Subuh,baca pada semua botol air untuk minuman dan masakan seisi keluarga.

7.Ketika memasak,sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa ayat 200 dari Surah Ali Imran yang bermaksud:"Wahai orang yang beriman!Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu,dan bersedialah serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya."

Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir'Ya Hayyu,Ya Qayyum,Ya Latiff dan Ya Rahman'berulang-ulang.Semua ini Insya-Allah adalah da pelembut hati.Begitu juga,Surah Toha ayat 1hingga 8,surah ar-reahman ayat 1 hingga 4 dan surah al-Insyirah dibaca dalam kegiatan lain seperti ketika menemani anak menelaah buku dan membaca al-Quran.

8.Bagi ibu yang bercita-cita mendapat zuriat yang baik,amalkan ayat 38 daripada Surah Ali Imran iaitu doa Nabi Zakaria yang bermaksud,"Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya,katanya:Wahai Tuhanku!Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik;sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar(menerima)doa permohonan."

9.Kita juga digalakkan menyentuh lembut ubun-ubun anak dengan tangan kanan sambil berdoa dan menyatakan harapan.Sebaik-baiknya setiap malam ketika anak dalam keadaan baru hendak tidur,ketika ini otak mereka sedang berehat dan lebih cepat mendengar kata.

10.Selepas solat lima waktu,amalkan doa daripada ayat 74 daripada Surah al-Furqan yang bermaksud,"Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata:Wahai Tuhan kami,berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya,dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu)bertakwa."

Amalkan juga ayat 40 daripada Surah Ibrahim yang bermaksud,"Wahai Tuhanku!Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang,dan zurait keturunanku.Wahai Tuhan kami,perkenankan doaku."Jadikanlah doa cara berkesan membentuk peribadi anak-anak.Doa itu senjata orang mukmin.

sumber : internet

p/s : yang paling berharga adalah anak yang soleh untuk kedua ibu bapanya...

Friday, July 30, 2010

Sayangi Anak Kita

Membesarkan anak dan mendidiknya bukanlah suatu perkara yang mudah, iyanya memerlukan usaha yang berterusan, kesabaran yang jitu dan pengorbanan yang tidak ternilai banyaknya.

Namun, dengan fitrah kasih sayang yang telah dianugerahkan oleh Allah subhanahu wata'ala ke atas setiap hambanya menjadikan tugas membesarkan dan mendidik anak ini menjadi mudah malahan menyeronokkan. Setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun, ada sahaja gelagat anak-anak yang akan menghiburkan hati.

Proses membesarkan dan mendidik anak sudah semestinya memerlukan kesabaran yang tinggi. Namun dengan kasih sayang yang ada, secara tidak langsung setiap ibu bapa yang mengajar anaknya masuk ke tandas dan mendidiknya membuang air akan menjadikan ianya suatu perkara yang menuntun kesabaran yang tinggi, ibu bapa tidak akan pernah berputus asa terhadap hal-hal seumpama ini. Walaupun terkadang, anak kita terbuang najis di atas lantai, atas tempat tidur malahan bersepah-sepah jadinya. Begitu juga, tita mengajarnya membaca huruf-huruf hijaiyyah melalui cd, sama ada menggunakan laptop ataupun pemain video cd ada sahaja yang ditekan-tekan oleh anak kita sehinggakan mengundang kegeraman dan kemarahan...tetapi kerana sayang, sabar mengatasi segala-galanya.

Dengan kasih sayang inilah melahirkan hubungan yang erat antara ibu dan bapa..mewujudkan sikap tolong menolong dan bertolak ansur, lahirnya satu pengorbanan yang tidak ternilai harganya yang telah dilakukan oleh ibu bapa terhadap anaknya. 

Berikanlah kasih sayang kepada anak kita bersesuaian dengan kehendak islam, kerana ianya merupakan anugerah yang tidak ternilai yang diberikan oleh Allah. Namun jangan  pula asih sayang itu melebihi kasih sayang kita terhadap Allah subhanahu wa ta'la.

Berbuat baiklah terhadap anak kita. Kelak, Allah akan memberikan habuan yang setimpalnya dengan kebaikan itu.

p/s : mama dan papa sayangkan Alfiyan Faaez walaupun kadang kala geram dan marah coz nda pandai diam bah!

Friday, July 16, 2010

Sesuatu Yang Mesti Diusahakan

Cari jodoh yang baik dan dekatkan jodoh yang baik.....

Bersihkan hati adalah perkara yang paling penting, kerana dengan bersihnya hati kita dari kemaksiatan dan kekotoran insyaAllah doa akan cepat dimakbulkan oleh Allah subhanahu wa ta'ala...
  1. Sentiasa berdoa
  2. Sentiasa beristighfar kepada Allah subhanahu wa ta'ala
  3. Pastikan diri sentiasa dalam keadaan berwudhu'
  4. Latih diri bangun malam untuk menunaikan solat
      • Tahajjud
      • Taubat
      • Hajat
  5.  Kalau mandi sentiasa berdoa "Ya Allah, Engkau jadikanlah aku seperti air ini yang sentiasa suci lagi suci menyucikan".
  6. Sentiasa bersangka baik dengan qada' qadar yang diberikan oleh Allah.
  7. Cepat atau lambatnya jodoh kita, semuanya adalah ketentuan Allah yang penting berusaha tanpa berputus asa. 
  8. Jangan menolak perkahwinan kerana perkahwinan itu adalah sunnah  Rasulullah sallallahu 'alihi wasallam.

Bagi kita kaum wanita, perkahwinan adalah platform yang terbaik untuk kita mudah memasuki syurga dan juga menjadi isteri yang baik dan beriman, dapat memberikan kita kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kenapa ya?
  1. Bila redha dengan keluarnya suami untuk melakukan kebaikkan akan dapat pahala
  2. Sediakan suami makanan dan minuman dapat pahala.
  3. Mengandungkan anak dapat pahala, malahan diampunkan lagi dosa-dosa.
  4. Senyum dekat suami dapat pahala
  5. Berhias untuk suami dapat pahala
  6. Keluar rumah dengan kebenaran suami dapat pahala, yang bukan maksiatlah....
  7. dan banyak lagi..
Bila dah jadi isteri...

  1. Taat pada Allah subhanahu wata'ala
  2. Taat pada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam
  3. Taat pada suami selagi bukan pada kemaksiatan.
InsyaAllah syurga menanti kita...


p.s : berusahalah mencari calon suami yang baik, kerana itu adalah satu ibadah..

Thursday, July 15, 2010

Suami Dan Isteri



Isteri : Abang tolong singgah kedai nanti belikan sabun cuci ya.
Suami : Sabun cuci apa?
Isteri : Sabun cuci kainlah.
Suami : Iyalah, tapi jenama apa.?
Isteri : Yang biasalah jenama DAIA.
Suami : Iyalah..

Apabila sampai di rumah, suami terlupa pula membeli sabun cuci jenama DAIA.
Isteri : Adakah abang beli sabun.?
Suami : Alaaa...lupa pula ba..
Isteri : ??????? (pelbagai ragam isteri, pelbagai jenislah jawapannya kan)



Mungkin antara reaksi si isteri, ada yang...
  1. Marah dan membebel
  2. Marah dan berdiam diri
  3. Marah, membebel dan buat muka
  4. Marah, diam dan buat muka.
  5. Sedih dan marah
  6. Sedih dan diam diri
  7. Sedih dan masuk bilik tidur
  8. Sedih , diam dan buat muka
  9. Sedih, marah dan buat muka
  10. Sedih dan menghempas2 barang
Diawal perkahwinan, saya berada pada kategori mana ya? Papa mungkin tahu jawapannya. Tapi saya rasa macam marah, diam dan buat muka...entahla juga.

Tapi bila sedar itu perkara kecil, dan sememangnya wanita suka memperbesar-besarkan perkara kecil akhirnya saya sedih dan diam ja. Cuma, kalau kerap kali berulang perkara yang sama, mana boleh diamkan..mestilah membebel sikit..itu pun bukannya lama, kejap ja. Petang marah dan membebel, malam reda sudah pun..

Bagi suami, perkara lupa beli sabun itu mungkin masalah kecil baginya tetapi bagi si isteri itu adalah perkara besar dan penting baginya. Kerana di situlah, isteri akan menilai sejauhmana suami menghargai dan menyayanginya...bukanlah kasih sayang suami itu dinilai dari beli sabun, tetapi  penilaian itu adalah melalui keperihatinannya terhadap keperluan dan kehendak si isteri..

Jadi, sebagai seorang suami berusahalah untuk menjadi seorang yang prihatin terhadap si isteri biarpun masalah yang remeh.

Si isteri juga, berusalah untuk tidak memperbesarkan hal-hal yang remeh bagi pandangan suami. Mencari jalan yang lain, itu adalah yang terbaik.


Jom jadi isteri yang kreatif dan inovatif  kerana redha Allah itu terletak pada redha suami kita..! Namun begitu, suami harus sedar...mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak...ada murka Allah menanti ya!

p.s : sekadar berkongsi pandangan..

Papa Dan Anak

Rasulullah sallalahu 'alihi wasallam bersabda yang bermaksud: 
“Orang yang paling baik dikalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.”  (Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Anak menjadi inspirasi kepada seseorang bapa untuk terus berusaha lebih gigih dan sentiasa mengutamakan keluarga. Sebab itulah keletihan dan tekanan kerja akan hilang apabila melihat wajah anak-anak serta mendapat layanan mesra daripada isteri. Pengorbanan sebagai bapa ini dapat kita fahami dari hadith riwayat at-Tirmizi bermaksud: 
“Tidak ada sesuatu pemberian yang lebih baik daripada seseorang ayah kepada anaknya selain daripada budi pekerti yang baik.”


Diriwayatkan oleh Bukhari satu kisah bahawa pada satu hari semasa Rasulullah mencium cucunya, perbuatan itu dilihat oleh Aqra bin Habis at-Tamimi lalu beliau mengatakan:
“Aku mempunyai sepuluh anak, tetapi tidak seorang pun daripada mereka pernah aku cium.” Rasulullah sallalahu 'alihi wasallam lalu menjawab: “Apa dayaku apabila Allah telah mencabut kasih sayang daripada hatimu”.

Rasulullah tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa terhadap anak biarpun yang sudah berumahtangga. Rasulullah sallalahu 'alihi wasallam sentiasa mengunjungi rumah Fatimah dan bertanya khabar, serta memberi nasihat berguna dalam menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Malah, Rasulullah  sentiasa memberi sambutan mesra setiap kali ketibaan Fatimah mengunjungi baginda. Baginda bangun menyambut ketibaan Fatimah, memberi kucupan dan memimpinnya ke tempat duduk. Sesungguhnya kasih sayang berterusan seorang bapa terhadap anak biarpun yang sudah berkahwin bukanlah mengganggu urusan hidup anak, kerana ikatan kasih sayang bapa terhadap anak adalah kasih sepanjang hayat.

Anak-anak akan lebih menghormati dan kagum kepada bapa yang sedia memahami dan menghormati keperluan mereka. Anak tidak akan mensia-siakan pengorbanan bapa yang menjalankan tanggungjawab yang terbaik.

Seharusnya kita jangan mengambil mudah tentang kasih sayang dan perhatian yang diperlukan oleh anak. Kita tidak boleh beranggapan bahawa sudah memadai kasih sayang dan perhatian yang diberikan oleh isteri kita. Kedua-duanya amat diperlukan si anak kecil, sebagai tempat mencurahkan kasih sayang dan sebagai tempat bermain bagi si anak.

Jadikan diri sebagai model yang terbaik untuk anak-anak dan juga isteri demi kebahagiaan rumahtangga dan untuk memperolehi keberkatan dari Allah subhanahu wa ta'ala di dunia dan akhirat..

p.s : gambar sekadar hiasan...

Monday, July 5, 2010

Untuk Suami Dan Juga Isteri

Kadang-kadang berlaku pada kita yang hanya suka terima kelebihan pasangan kita semata-mata, tidak pada kekurangannya. Sedangkan mana ada kita yang sempurna!

Sebenarnya semua kita ada kelebihan-kelebihan dan juga kekurangan-kekurangan tersendiri. Saidina Umar radhiallahu 'anhu yang ketika itu sudah menjadi Khalifah, Amirul Mukminin pernah didatangi seorang sahabat lain yang ingin mendapat nasihat sebab isterinya asyik berleter.Tiba-tiba sahabat itu mendengar suara isteri Saidina Umar sedang mencurahkan perasaannya pada suaminya Khalifah, maka sahabat itu pun beredar kerana mendapati keadaan Khalifah pun sama dengan dirinya. Saidina Umar yang menyedari kehadiran sahabatnya itu segera memanggil lantas setelah jelas maksud kedatangan lelaki itu, saidina Umar pun memberikan nasihatnya " Bersabarlah kerana perkara itu bukanlah lama.."


Bukankah seorang isteri itulah yang menyiapkan segala keperluan kita selama ini..? Isteri masak makanan kita...Isteri siapkan pakaian kita...Isteri layan keperluan batin kita...Bahkan ia mengandung anak kita dengan sabar dan susah anak kita...Dan dialah yang berkorban nyawa melahirkan dan membesarkan anak kita!

Renungan bersama...

Sunday, July 4, 2010

Memasukkan Rahmat Ke Dalam Rumahtangga

Di samping suami isteri merupakan faktor utama dalam melahirkan rumahtangga bahagia, (adalah suatu hakikat yang tidak boleh dilupa bahawa Allah sahaja yang berkuasa penuh sama ada mahu memberi kebahagiaan atau tidak). Maka Allah SWT juga memberi panduan melalui RasulNya. Apakah perkara-perkara yang patut diamalkan agar saluran rahmat sentiasa menuju ke rumah kita, antara lain:

  • Hidupkan salam antara ahli keluarga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: 
“Wahai Anas, ucapkanlah salam kepada ahli rumah engkau nescaya dan
 ahli rumah engkau mendapat berkat.”

  • Banyakkan membaca Al-Quran dalam rumah. Kata Abu Hurairah RA : Sesungguhnya rumah yang sentiasa dibaca ayat-ayat Al-Quran di dalamnya, memberi kelapangan kepada ahlinya, banyak berkatnya dan ianya dikunjungi oleh para malaikat dan keluar darinya syaitan-syaitan dan sesungguhnya rumah yang tidak dibaca Al-Quran di dalamnya membuat kesempitan kepada penghuninya, sedikit berkatanya, keluar darinya oleh para malaikat dan masuk ke dalamnya oleh para syaitan.


  • Banyak sembahyang sunat di rumah, sebab itu Rasulullah SAW apabila hendak sembahyang sunat baginda pulang dan bersembahyang sunat di sudut rumahnya, kerana katanya Malaikat Rahmat akan memasuki rumah yang banyak dilakukan ibadat di dalamnya.

  • Hiasi rumah dengan benda-benda yang halal dan bersihkan dari perhiasan haram kerana rumah yang dihiasi dengan benda-benda haram seperti patung-patung, gambar-gambar lucah dan sebagainya tidak akan dimasuki Malaikat, sedangkan Malaikat pembawa rahmat, rumah yang tidak dimasuki Malaikat ertinya tidak mendapat rahmat dari Allah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya:

“Malaikat tidak akan memasuki rumah-rumah yang di dalamnya ada anjing dan patung-patung”.

Ibnu Abbas menceritakan bahawa Rasulullah SAW pada tahun pembukaan Makkah apabila melihat gambar-gambar tergantung di rumah baginda tidak masuk sehingga baginda perintah supaya dihapuskan terlebih dahulu. Ini adalah menunjukkan gambar-gambar lucah
adalah dibenci oleh Islam.

Demikian di antara perkara-perkara yang dapat dilakukan oleh para suami dan isteri untuk membentuk sebuah rumahtangga yang aman dan bahagia.

Wallahua’lam


Sumber : http://www.unitagamakmb.com/

Monday, June 28, 2010

8P Tip kebahagian rumahtangga

 1. P yang pertama ialah 'puji' iaitu setiap pasangan perlu saling memuji antara satu sama lain dalam semua aspek kehidupan seperti masakan atau ucapan terima kasih apabila diberi pertolongan.

2. P kedua ialah 'peluk' yang mana pasangan suami isteri hendaklah selalu peluk memeluk antara satu sama lain sekerap mungkin pada setiap hari kerana pelukan itu adalah belaian penuh kasih sayang.

3. P ketiga ialah 'penghargaan' di mana amalan memberi hadiah boleh menambah kasih sayang.

4. P keempat ialah 'perhatian' yang mesti diambil berat kerana kekurangan perhatian boleh mengakibatkan pasangan terasa diabaikan.

5. P kelima mewakili 'persefahaman' kerana sebagai manusia yang bekerjaya memerlukan pasangan lebih bertolak ansur dan memahami kerjaya masing-masing.

6. P keenam membawa maksud 'pergaulan' iaitu pasangan suami isteri mesti menjaga pergaulan masing-masing dengan orang lain bagi mengelakkannya daripada melampaui batas, menimbulkan cemburu seterusnya membawa kepada pembabitan orang ketiga.

7. P ketujuh adalah 'percutian' di mana seseorang itu perlu merancang percutian berdua-duaan dengan pasangannya di tempat yang jauh daripada kesibukan dan kehidupan rutin atau gangguan lain.

8. P yang terakhir ialah 'permohonan' iaitu doa kepada Allah supaya merapatkan kasih sayang antara pasangan suami isteri serta dijauhi daripada godaan kemewahan dan keseronokan dunia.

Ustazah Siti Nur Bahyah juga menurunkan beberapa amalan doa selepas solat yang boleh merapatkan hubungan dan menimbulkan kasih sayang antara suami isteri iaitu membaca surah Al-Imran ayat ke-31 atau membacakan ayat ke-200 surah yang sama.

Beliau berkata, kunci kebahagiaan rumah tangga yang sebenar ialah mendekatkan diri dengan Allah.

Katanya, apabila seseorang insan mengabaikan tanggungjawab terhadap agama, dia akan mengabaikan rumah tangga kerana jiwa yang kosong.

"Ketika kita jauh daripada Allah, iblis yang suka umat manusia bercerai berai akan menghampiri dan melalaikan kita daripada tanggungjawab terhadap keluarga," katanya.


Dua-duanya anugerah Allah yang tidak terhingga nilainya.

p/s : mama sayang papa dan fiyan