Thursday, July 15, 2010

Papa Dan Anak

Rasulullah sallalahu 'alihi wasallam bersabda yang bermaksud: 
“Orang yang paling baik dikalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.”  (Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Anak menjadi inspirasi kepada seseorang bapa untuk terus berusaha lebih gigih dan sentiasa mengutamakan keluarga. Sebab itulah keletihan dan tekanan kerja akan hilang apabila melihat wajah anak-anak serta mendapat layanan mesra daripada isteri. Pengorbanan sebagai bapa ini dapat kita fahami dari hadith riwayat at-Tirmizi bermaksud: 
“Tidak ada sesuatu pemberian yang lebih baik daripada seseorang ayah kepada anaknya selain daripada budi pekerti yang baik.”


Diriwayatkan oleh Bukhari satu kisah bahawa pada satu hari semasa Rasulullah mencium cucunya, perbuatan itu dilihat oleh Aqra bin Habis at-Tamimi lalu beliau mengatakan:
“Aku mempunyai sepuluh anak, tetapi tidak seorang pun daripada mereka pernah aku cium.” Rasulullah sallalahu 'alihi wasallam lalu menjawab: “Apa dayaku apabila Allah telah mencabut kasih sayang daripada hatimu”.

Rasulullah tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa terhadap anak biarpun yang sudah berumahtangga. Rasulullah sallalahu 'alihi wasallam sentiasa mengunjungi rumah Fatimah dan bertanya khabar, serta memberi nasihat berguna dalam menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Malah, Rasulullah  sentiasa memberi sambutan mesra setiap kali ketibaan Fatimah mengunjungi baginda. Baginda bangun menyambut ketibaan Fatimah, memberi kucupan dan memimpinnya ke tempat duduk. Sesungguhnya kasih sayang berterusan seorang bapa terhadap anak biarpun yang sudah berkahwin bukanlah mengganggu urusan hidup anak, kerana ikatan kasih sayang bapa terhadap anak adalah kasih sepanjang hayat.

Anak-anak akan lebih menghormati dan kagum kepada bapa yang sedia memahami dan menghormati keperluan mereka. Anak tidak akan mensia-siakan pengorbanan bapa yang menjalankan tanggungjawab yang terbaik.

Seharusnya kita jangan mengambil mudah tentang kasih sayang dan perhatian yang diperlukan oleh anak. Kita tidak boleh beranggapan bahawa sudah memadai kasih sayang dan perhatian yang diberikan oleh isteri kita. Kedua-duanya amat diperlukan si anak kecil, sebagai tempat mencurahkan kasih sayang dan sebagai tempat bermain bagi si anak.

Jadikan diri sebagai model yang terbaik untuk anak-anak dan juga isteri demi kebahagiaan rumahtangga dan untuk memperolehi keberkatan dari Allah subhanahu wa ta'ala di dunia dan akhirat..

p.s : gambar sekadar hiasan...

No comments:

Post a Comment