Syukur alhamdullillah mama fiyan dapat artikel ini dari  http://inijalanku.wordpress.com (web kegemaran mama fiyan) , kebetulan ada kawan sepejabat (Rosmina Dollin) bertanya berkenaan hukum memotong rambut dan kuku bagi orang yang ingin berkorban...  so, baca punya baca,,,eh eh eh ada entri terbaru dari Ustaz Halim , tajuknya yang di atas tu la. Sama2 kita baca artikel ini ya,  saya copy paste dari blog beliau ja.. 
Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda bermaksud, “Tiada  suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan  pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda  bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan  Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah  kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak  membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan  agama Allah)”.
  
Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada  suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan  pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya  tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu  Lillah)”.
 
Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa Baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.
Amalan yang dianjurkan padanya
 
1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik  amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya :  Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan  (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima)  tiada baginya balasan melainkan syurga”.
 
2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya –  terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di  antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang  dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu  dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya,  makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.
 
Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”. Puasa ini adalah bagi mereka yang tidak berwuquf di padang Arafah.
 
3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t  yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa  hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di  bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya  diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis  Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.
 
4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan  amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana  maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari  rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya  Allah kepadanya.
 
5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan  seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada  kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan  digandakan pada hari-hari tersebut.
 
Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih  disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan  yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara  amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari  itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh  (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).
 
6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada  waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima  waktu yang dikerjakan secara berjemaah.
Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari  waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir  bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya  berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.
 
7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari  raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan  sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah  menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan  seekor haiwan untuk disembelih.
 
8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Apabila  kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang  ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan  dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”. Di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”.
 
Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi  mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari  kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan  janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang  dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke  tempatnya).
 
Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus  kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri  dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan  tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya  kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.
 
9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara  berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya  mendapat pengajaran daripadanya.
 
Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia  merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan.  Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan  Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan  sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan  yang dikerjakannya sebelum itu.
 
10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah,  berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya,  mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.
 
p/s : semoga Allah memberikan kesempatan kepada Family Mama Fiyan untuk menunaikan umrah dan haji...amin!