Thursday, October 21, 2010

TELADAN DARI LEBAH

Kehidupan lebah didokumetasikan dengan baik dalam al-Quran, Injil dan Vedas, sebuah kitab Hindu, dan manusia disaran meneladani kehidupan makhluk ini, selain mengambil madunya yang cukup berkhasiat.

Pendokumentasian kisah serangga ini adalah kerana inilah satu-satunya makhluk yang membantu petani dalam proses pendebungaan tanaman dengan berkesan, sementara madunya dapat mengubati banyak penyakit.

Selain peranan lebah sebagai "aktivis alam sekitar" banyak boleh dipelajari aripadanya, apalagi dalam Era Teknologi Maklumat kini, tegas seorang pakar lebah Malaysia, Prof Madya Dr Makhdzir Mardan, Universiti Putra Malaysia.

LEBAH ADALAH PENGURUS INFO YANG CEKAP

Makhdzir, pengarah Institut Multimedia universiti berkenaan yang ditugas menghasilkan produk multimedia menggunakan lebah sebagai bahan, berkata lebih banyak hal dapat dipelajari berdasaran hakikat bahawa lebah merupakan pengurus teknologi maklumat yang handal.

"Lebah mengendali maklumat dengan baik, oleh itu amat cekap dalam apa jua urusannya," kata Makhdzir.

"Lebah mempunyai sistem pengurusan maklumat yang hebat dan lebah peninjau - seperti pegawai penyelidikan dan pembangunan (R&D) -- mencari tempat yang paling sesuai untuk membina koloni atau sarang baru dan begitu tepat dalam menunjukkan jarak dan haluan untuk pembinaan koloni dan sumber makanan menerusi "bahasa tarian", kata beliau.

"Kita harus mengurus informasi seperti lebah, khususnya dalam industri perkhidmatan di mana maklumat mesti tepat tanpa ada informasi tidak betul atau khabar-khabar angin," katanya.

Informasi adalah penting dalam industri perkhidmatan kerana sebarang khabar angin mengenai rusuhan atau wabak boleh menyebabkan industri berkenaan musnah.

Makhdzir berkata manusia mestilah bijak menapis, menimbang, menilai dan menganalisis informasi seperti lebah supaya boleh membuat keputusan yang betul.

MEMBUAT KEPUTUSAN MENERUSI KATA SEPAKAT

Makhdzir, lulus dalam pengajian lebah dan kemudian memasuki bidang multimedia secara agak kebetulan.

Beliau mendapat ijazah sarjana pengajian lebah dari Louisiana State University, AS, pada 1979. Pada 1988, beliau ditugas menghasilkan produk multimedia menggunakan lebah sebagai bahan, dengan itu mendorongya memasuki alam multimedia dan dilantik pengarah institut pada 1995.

Berbalik kepada lebah, beliau berkata serangga ini mengamalkan pemerintahan koloni atau "korporat" dan setiap anggota dalam koloni terlibat dalam membuat keputusan.

Bila lebah permaisuri mati, permaisuri baru diketengahkan. Pemilihan permaisuri adalah menerusi kesepakatan kata dan selepas itu lebah meneruskan kerja masing-masing tanpa membuang masa berbalah tentang siapa lagi seharusnya menjadi permaisuri.

"Pelajaran yang boleh diteladani di sini ialah demokrasi dan membuat keputusan secara sebulat suara," kata Makhdzir, yang menjadikan lebah minat utamanya.

"Lebah menunjukkan kita cara bagaimana sebuah masyarakat ideal mengendali kehidupan," katanya.

Surah Nahl atau Lebah dalam al-Quran tafsiran A. Yusuf Ali menghuraikan bahawa lubang-lubang berbentuk hexagon atau enam segi pada sarang lebah menunjukkan kecekapan serangga ini menjimatkan ruang untuk didiami setiap penghuni.

Hexagon adalah kompromi antara bentuk empat segi dengan bulatan penuh. Gandingan satu bulatan dengan bulatan lain akan menimbulkan banyak ruang-ruang kosong di luar bulatan dan ini mengakibatkan pembaziran ruang sementara bentuk empat segi juga menyebabkan pembaziran ruang kerana badan lebah itu sendiri hampir berbentuk bulat.

Kesediaan lebah bertolak ansur dalam pembahagian ruang wajar diteladani manusia untuk bertolak ansor dan bersederhana tidak saja dalam mendapatkan tempat kediaman tetapi juga memiliki keperluan material.

Lebah cukup mahir dalam tugas tersendiri masing-masing -- antaranya lebah permaisuri, lebah jantan, lebah pengawal, peninjau, pencari makan, pelayan makan, pengendali si mati, dan pesolek.

Pengkhususan adalah kunci kepada kecekapan dan ini menghasilkan produktiviti lebih tinggi. Malah, penghasilan madu adalah satu pengkhususan dan ia dihasilkan di kilang paling cekap di dunia - sarang lebah.

Untuk menjadi pakar mesti ada "pengesan" dan "pembaca" bagi mengumpul informasi yang relevan sebagaimana dilakukan oleh lebah.

Dalam masyarakat manusia, mereka mesti diupah untuk membaca dan sentiasa seiring dengan peristiwa semasa bagi menentukan sesebuah syarikat sentiasa mendapat maklumat mutakhir demi menentukan daya saingnya, kata Makhdzir.

FALSAFAH TIDAK AGRESIF

Falsafah lebah tidak bersikap agresif dan mereka jarang terlibat dalam konflik secara langsung, kata beliau.

"Jika ada pilihan, lebah akan mengelak bertelagah dengan musuh, dan lebih suka mencari dan mengumpul makanan pada masa lain atau berada di kawasan lebih tinggi bagi mengelakkan pertempuran," kata beliau.

Bagi mengelakkan serangan, mereka punya rancangan menyelamatkan diri dari musuh dan bertempur dengan mereka hanya bila terpaksa.

Altruisme atau sifat mengutamakan diri pihak lain adalah juga sifat lebah. Bila musuh menyerang mereka mengeluarkan kelenjar racun dan dalam proses itu mereka mati.


SESIBUK SANG LEBAH

Bagi lebah tidak ada masa untuk rekreasi atau bersuka ria - tepat memenuhi maksud peribahasa "sesibuk sang lebah". Kerja dan terus kerja sampai mati, kata Makhdzir.

Bagaimanapun, lebah punya waktu tidak aktif kerana hanya 20 peratus dari penghuni koloni sibuk bekerja pada satu-satu masa, menyamai pasukan tentera, kata Makhdzir.

Katanya, seluruh koloni akan haru-biru jika semua lebah bekerja. Lebah tidak saja memberi teladan kepada manusia dengan pelbagai pelajaran yang berguna tetapi juga memainkan peranan besar dalam pendebungaan dan pendebungaan pintas bagi memelihara kepelbagaian genetik hutan tropika Malaysia.

Dengan itu, lebah memperkaya aspek kepelbagaian-bio, kata Makhdzir. Makhdzir memberikan petua menyimpan madu. Madu adalah asli jika ia berbuih. Pembuihan berlaku pada madu yang belum matang, tetapi ini boleh dielakkan dengan memasukkan beberapa butir cengkih atau sebatang kulit kayu manis.

No comments:

Post a Comment