Monday, August 30, 2010

Takwa Dan Perpaduan Asas Keselamatan Di Akhir Zaman

Daripada Abi Najih 'Irbadh bin Sariyah radhiaallahu 'anhu berkata : "Telah menasihati kami oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan meninitskan air mata kami ketika mendengarnnya, lalu kami berkata : Ya Rasulullah! seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami. Lalu baginda pun bersabda : "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertawakal kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar-Rasyidin Al-Mahdiyin (khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bida'ah itu adalah sesat"

H.R. ABU DAUD DAN TIRMIZI

Keterangan Hadis :
Hadis ini mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga daripada Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam bagi umatnya, terutama  bila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau dan perselisihan iaitu seperti zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini. Oleh itu sesiapa yang mahu selamat maka hendaklah ia mengikuti tunjuk ajar yang telah disabdakan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam dalam hadis ini, iaitulah :

1. Hendaklah ia melazimi takwa kepada Allah dalam keadaan apa jua dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.

2. Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mereka berpegang dengan Al-Qur'an dan Sunnah Nabi dan sunnah-sunnah khulafa ArRasyidin, kerana patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti patuh kepada Al-Quran dan Hadis Nabi sallallahu 'alaihi wassalam

3. Berpegang teguh kepada sunnah Nabi dan sunnah khulafa ArRasyidin AlMahdiyin (Abu Bakar, Umar, Osman dan Ali radhiallahu 'anhu) yang mana mereka terlah mendapat petunjuk daripada Allah Ta'ala, iaitulah berpegangan kepada fahaman dan amalan ahli sunnah wal jamaah yang mana hanya penganut fahaman ini sahaja yang mendapat jaminan selamat daripada api neraka dan yang bertuah mendapatkan syurga pada hari kiamat nanti.

4. Menjauhi perkara-perkara bid'ah dholalah, iaitu apa jua fahaman dan amalan yang ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini, pada hal tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama. Sekiranya ada asal atau dalil, maka tidaklah perkara-perkara yang baharu itu dikatakan bidah menurut pengertian syara' (bukan bid'ah dholalah) tetapi hanya dinamakan bid'ah menurut pengertian loghat atau bahasa sahaja (iaitulah bid'ah hasanah)

No comments:

Post a Comment