Showing posts with label Hadis Akhir Zaman. Show all posts
Showing posts with label Hadis Akhir Zaman. Show all posts

Wednesday, August 17, 2011

SEPULUH TANDA-TANDA KIAMAT YANG BESAR

Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku dan sekalian 
orang Mukmin pada hari terjadinya hari kiamat”. (Surah Ibrahim ayat 41)

Ertinya:

Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata: "Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: "Apa yang kamu perbincangkan?". Kami menjawab: "Kami sedang berbincang tentang hari qiamat". Lalu Nabi saw. bersabda: "Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya". Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka".
H.R Muslimi
Keterangan

Sepuluh tanda-tanda qiamat yang disebutkan Rasulullah saw. dalam hadis ini adalah tanda-tanda qiamat yang besar-besar, akan terjadi di saat hampir tibanya hari qiamat. Sepuluh tanda itu ialah:
  1. Dukhan (asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selsema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir.

  2. Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.

  3. Binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah swt.

  4. Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Maka pada saat itu Allah swt. tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa.

  5. Turunnya Nabi Isa alaihissalam ke permukaan bumi ini. Beliau akan mendukung pemerintahan Imam Mahadi yang berdaulat pada masa itu dan beliau akan mematahkan segala salib yang dibuat oleb orang-orang Kristian dan beliau juga yang akan membunuh Dajjal.

  6. Keluarnya bangsa Ya'juj dan Ma'juj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zul Qarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.

  7. Gempa bumi di Timur.

  8. Gempa bumi di Barat.

  9. Gempa bumi di Semenanjung Arab.

  10. Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke Padang Mahsyar. Api itu akan bermula dari arah negeri Yaman.
Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fathul Bari beliau mengatakan: “Apa yang dapat dirajihkan (pendapat yang terpilih) dari himpunan hadis-hadis Rasulullah Saw. bahawa keluarnya Dajal adalah yang mendahului segala petanda-petanda besar yang mengakibatkan perubahan besar yang berlaku dipermukaan bumi ini. Keadaan itu akan disudahi dengan kematian Nabi Isa alaihissalam (setelah belian turun dari langit). Kemudian terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya adalah permulaan tanda-tanda qiamat yang besar yang akan merosakkan sistem alam cakerawala yang mana kejadian ini akan disudahi dengan terjadinya peristiwa qiamat yang dahsyat itu. Barangkali keluarnya binatang yang disebutkan itu adalah terjadi di hari yang matahari pada waktu itu terbit dari tempat tenggelamnya”.

p/s : Ya Allah ya Tuhanku, hindarilah kami dari fitnah hari akhirat....

Thursday, October 14, 2010

Seluruh Dunia Datang Mengerumuni Dunia Islam

Daripada Tsauban radhiallah 'anhu berkata : Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda : "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi sallallahu 'alaihi wasallam menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu bajir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'". Seorang sahabat bertanya :"Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi kita menjawab :"Cinta pada dunia dan takut pada mati". 

H.R Abu Daud

sumber : http://www.islam101.com/images/Muslim_Distribution_map.jpg

Keterangan Hadis :

Keadaan umat Islam pada hari ini, menggambarkan kebenaran apa yang disabdakan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Umat Islam walaupun mereka mempunyai bilangan yang ramai tetapi selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain. Mereka ditindas, diinjak-injak, disakiti, dibunuh dan sebagainya. Bangsa-bangsa dari seluruh dunia walaupun berbeza-beza agama mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatannya.

Sebenarnya, segala kekalahan kaum Muslimin adalah berpunca dari dalam diri kaum muslimin itu sendiri, iaitulah dari penyakit 'wahan' yang merupakan penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalam  bentuk kembar dua, iaitu "cinta dunia" dan "takut mati". Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan. "Cinta dunia" bermakna tamak, rakus, bakhil dan tidak mahu mendermakan harta di jalan Allah subhanahu wata'ala. "Takut mati" pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tidak ada perasaan untuk berkorban dengan diri dan jiwa dalam memperjuangkan agama Allah subhanahu wata'ala.


p/s : marila kita berdoa agar Allah subhanahu wata'ala menurunkah nushrahNya kepada kaum muslimin dan memberikan kejayaan kepada kita di dunia dan akhirat.

Monday, August 30, 2010

Orang Yang Baik Berkurangan Sedang Yang Jahat Bertambah Banyak

Daripada Aisyah radhiallahu 'anha berkata : "Aku mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga  anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibu bapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik, dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik."

(H.R. Thabrani)

Keterangan Hadis :
Di antara tanda-tanda qiamat ialah :
  1. Bila anak-anak merupakan punca kemarahan orang tuanya.
  2. Bila hujan berkurangan, cuaca menjadi panas dan udara telah tercemar.
  3. Orang jahat bertambah ramai dan galakan untuk membuat kejahatan sangat banyak.
  4. Orang yang berbuat kebaikan sedikit dan tidak mendapat kemudahan yang sewajarnya.
  5. Anak-anak sudah berani melawan orang tua.
  6. Orang-orang yang jahat berani melawan orang-orang yang baik dan tidak segan terhadap mereka.
Marilah kita berdoa, mudah-mudahan Allah subhanahu wata'ala menyelamatkan kita dan anak cucu kita dari tergolong di kalangan mereka yang disebutkan tadi.

Takwa Dan Perpaduan Asas Keselamatan Di Akhir Zaman

Daripada Abi Najih 'Irbadh bin Sariyah radhiaallahu 'anhu berkata : "Telah menasihati kami oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan meninitskan air mata kami ketika mendengarnnya, lalu kami berkata : Ya Rasulullah! seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami. Lalu baginda pun bersabda : "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertawakal kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar-Rasyidin Al-Mahdiyin (khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bida'ah itu adalah sesat"

H.R. ABU DAUD DAN TIRMIZI

Keterangan Hadis :
Hadis ini mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga daripada Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam bagi umatnya, terutama  bila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau dan perselisihan iaitu seperti zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini. Oleh itu sesiapa yang mahu selamat maka hendaklah ia mengikuti tunjuk ajar yang telah disabdakan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam dalam hadis ini, iaitulah :

1. Hendaklah ia melazimi takwa kepada Allah dalam keadaan apa jua dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.

2. Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mereka berpegang dengan Al-Qur'an dan Sunnah Nabi dan sunnah-sunnah khulafa ArRasyidin, kerana patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti patuh kepada Al-Quran dan Hadis Nabi sallallahu 'alaihi wassalam

3. Berpegang teguh kepada sunnah Nabi dan sunnah khulafa ArRasyidin AlMahdiyin (Abu Bakar, Umar, Osman dan Ali radhiallahu 'anhu) yang mana mereka terlah mendapat petunjuk daripada Allah Ta'ala, iaitulah berpegangan kepada fahaman dan amalan ahli sunnah wal jamaah yang mana hanya penganut fahaman ini sahaja yang mendapat jaminan selamat daripada api neraka dan yang bertuah mendapatkan syurga pada hari kiamat nanti.

4. Menjauhi perkara-perkara bid'ah dholalah, iaitu apa jua fahaman dan amalan yang ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini, pada hal tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama. Sekiranya ada asal atau dalil, maka tidaklah perkara-perkara yang baharu itu dikatakan bidah menurut pengertian syara' (bukan bid'ah dholalah) tetapi hanya dinamakan bid'ah menurut pengertian loghat atau bahasa sahaja (iaitulah bid'ah hasanah)