Saturday, October 16, 2010

Empat Golongan Manusia

1. Manusia sebagai hamba kebendaan : Yang bererti hidup mulia di dunia dan hina di akhirat.

Orang yang diperhambakan oleh kebendaan ini, dalam hidupnya hanya bercita-cita untuk mendapatkan harta yang melimpah ruah, bergelumang dalam kemewahan dan serba berkecukupan, sampai akhir hayatnya tiada lain kecuali menggumpulkan harta kekayaan untuk kepentingan peribadi, tanpa adanya kesediaan terhadap kewajipannya kepada Allah dan beramal untuk kepentingan masyarakat dan inilah yang disebut insan kebendaan.

2. Manusia hamba kerohanian : Yang bererti hidup hina di dunia tetapi mulia di akhirat.

Orang yang seperti ini adalah kerana iman dan takwanya telah sangat mendalam sehingga ia hanya menyibukkan dirinya dalam melaksanakan ibadah sebanyak mungkin bagi memperolehi redha dan anugerah serta ampunan Allah subhanahu wata'ala.

Dia lebih banyak menghabiskan masanya dalam masjid atau surau untuk mengerjakan solat-solat wajib dan sunat. Kemudian dia berzikir (mengingati kebesaran Allah) sebanyak-banyaknya dan sering sekali pada malam hari dia beriktikaf di masjid hingga larut malam.

Selain itu, hari-harinya hanya dihabiskan untuk mengkaji masalah agama serta mengajarnya. Hidupnya sehari-hari hanya bergantung kepada belas kasihan orang lain, serta hidup serba kekurangan, meskipun demikian dia tetap bersabar dan berserah diri kepada Allah subhanahu wata'ala.

3. Manusia yang berada pada dua jalan : Iaitu manusia yang mulia di dunia dan mulia di akhirat.

Secara tegas, agama Islam telah menggariskan kepada kita supaya hidup dalam keadaan seimbang antara keperluan jasmani dan keperluan rohani dan menyerukan kepaa setiap muslim supaya berusaha untuk kehidupannya, seakan-akan dia akan hidup selama-lamanya dan beramal untuk akhirat seakan-akan dia akan mati esoknya.

Hanya Islamlah satu-satunya agama yang tidak memisahkan antara kepentingan rohani dan kepentingan jasmani, kerana Islam memandang hubungan antara jasmani dan rohani itu akan saling mempengaruhi. Dalam hubungan ini Al-Quran membayangkan akan kehidupan hamba-hamba Allah yang baik itu sebagai berikut :

"Dan di antara mereka itu ada orang yang mendoakan : Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari sisa api neraka." ( Surah Al-Baqarah : 201)
"Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan Allah sangat cepat perhitunganNya."  (Surah Al-Baqarah :202)

Bagi seorang muslim yang betul-betul memahami akan ajaran Islam, dia akan berpegang teguh kepada ajaran yang telah dianjurkan oleh Islam tersebut, tidak kira sama ada dia seorang penguasa, pedagang, petani dan sebagainya. Dalam usahanya untuk memperolehi keuntungan dia berpedoman pada sifat kejujuran, keadilan , kemanusiaan dan kebijaksanaan sehingga tidak menyimpang dari ketentuan-ketentuan agama.

Kekayaan yang diperolehi dari usaha yang rajin dan bersungguh-sungguh itu tidaklah membuat dia angkuh atau sombong, melainkan tetap rendah diri, sederhana dan bahkan dia sentiasa mensyukuri nikmat Allah yang diberikan kepadanya. Semakin banyak hartanya, semakin tekun ia beribadah kepada Allah kerana dia insaf bahawa hata yang diperolehinya itu bukan keseluruhannya milik peribadinya, tetapi adalah merupakan amanah yang harus disampaikan kepada yang berhak menerimanya, maka sebahagian dari hartanya itu dikeluarkannya zakat.

Orang-orang yang beriman yang memperolehi rezeki, iaitu rezeki yang bersih dan halal untuk menanggung keluarganya, diserukan supaya sentiasa bersyukur kepada Allah atas kurniaNya.

Untuk itu, bagi orang-orang muslim yang telah dikurniakan oleh Allah berupa rezeki harta yang banyak sebagaimana yang digambarkan di atas, maka patutlah dikatakan bahawa orang yang demikian adalah orang yang mendapat kemuliaan di dunia dan kemuliaan di akhirat.

4. Orang yang celaka di dunia dan celaka pula di akhirat.

Sungguh kasihan bila kita melihat orang-orang fakir miskin, orang-orang buta, pengemis dan kaum buruh yang menerima upah di bawah ukuran hidupnya. Pada umumnya mereka hidup dalam penderitaan dan serba kekurangan segala-galanya.

Lebih kasihan lagi, jika dalam kemiskinan itu mereka lupa kepada Allah, serta meninggalkan segala yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Untuk mereka ini sebenarnya kehidupan ini tidak bererti sama sekali bahkan mereka-merekalah yang termasuk dalam golongan yang celaka di dunia dan celaka di akhirat, marilah kita berlindung dengan Allah daripada yang demikian.

Rujukan : Menyingkap Rahsia Diri & Keagungan Ilahi oleh Drs. Kasmuri Selamat.MA

p/s : peringatan untuk diri sendiri dimana letakannya diri kita....

2 comments:

  1. rasanya elok kalau kita berada di golongan ke3 tu kan. seimbang.

    ReplyDelete
  2. iya..itulah yang sebaiknyakan. bersederhana ja

    ReplyDelete