Saturday, September 4, 2010

Zakat Fitrah

Zakat fitrah dikatakan juga zakat badan. Hukumnya wajib ke atas tiap-tiap orang yang mukallaf. Beliau mestilah mengeluarkan satu gantang daripada makanan yang boleh mengagahkan tubuh. Dibolehkan mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya sendiri dan juga bagi diri orang lain di mana menjadi kewajipannya untuk menanggung perbelanjaan mereka dari kalangan isi rumahnya. Ataupun dengan sejumlah wang yang menyamai harga pembelian makanan yang boleh menguatkan tubuh badan tersebut.

Syarat-syarat wajib zakat fitrah
  1. Beliau hendaklah hidup sehingga seperempat dari akhir bulan Ramadhan dan juga masih hidup sehingga seperempat dari bulan Syawal. Untuk mereka wajib dikeluarkan zakat fitrah. Umpamanya anak yang dilahirkan pada akhir bulan Ramadhan kemudian meninggal dunia pada hari pertama bulan Syawal.
  2. Orang yang mengeluarkan zakat fitrah mestilah Islam, merdeka dan mempunyai perbelanjaan yang lebih bagi semalaman hari raya untuk perbelanjaan pakaian, makanan yang lazim bagi dirinya sendiri dan mereka yang berada di bawah tanggungannya.
Niat mengeluarkan zakat fitrah 

1.Untuk diri sendiri :
"Inilah wang zakat sebanyak RM...... menggantikan beras yang wajib atas diriku pada tahun ini kerana Allah ta'ala."


2. Untuk diri sendiri, keluarga dan tanggungan :
"Inilah wang zakat sebanyak RM..... menggantikan beras yang wajib atas diriku dan keluargaku serta tanggunganku pada tahun ini kerana Allah ta'ala."

3. Zakat yang diwakilkan :
"Inilah wang zakat sebanyak RM...... menggantikan beras yang telah diwakilkan kepadaku oleh ....... dan keluarga/tanggungannya pada tahun ini kerana Allah ta'ala"

Doa akad zakat

أللّهُمَّ اجْعَلْهَا مَغْنَمًا وَلا تَجْعَلْهَا مَغْرَمًا
Ya Allah jadikanlah ia sebagai simpanan yang menguntungkan dan jangan jadikanlah ia pemberian yang merugikan.

Kemudian yang menerima dianjurkan membaca do’a :

آجَرَكَ اللهُ فِيْمَا أَعْطَيْتَ، وَبَارَكَ لَكَ فِيْمَا أَبْقَيْتَ، وَاجْعَلْهُ لَكَ طَهُوْرًا
Mudah-mudahan Allah memberi pahala atas apa yang engkau berikan, memberikan barakah
atas apa yang masih ada di tanganmu dan menjadikannya sebagai pembersih bagimu.


Golongan-golongan yang boleh menerima zakat
Terbahagi kepada 8 golongan iaitu :-

  1. Fakir -  tidak mempunyai perbelanjaan yang cukup dan tidak mempunyai harta
  2. Miskin - mempunyai belanja tetapi tidak mencukupi untuk perbelanjaan yang lazim baginya.
  3. Amil - orang yang diperintahkan untuk mengumpulkan dan membahagikan zakat tersebut.
  4. Muallaf - saudara-saudara baru
  5. Hamba sahaya yang disuruh oleh tuannya mencari harta untuk menebus dirinya sendiri
  6. Orang yang berhutang lantaran maslahat agama dan maslahat am
  7. Mujahid - orang yang berjuang dan berkorban di jalan Allah subhanahu wata'ala ataupun melakukan amalan yang semata-mata untuk menegakkan kalimah Allah subhanahu wata'ala
  8. Orang yang keputusan belanja ditengah perjalanan
p/s : Untuk tahun ni kadar bayaran zakat fitrah yang abang telah bayarkan ialah RM6.80 seorang..

No comments:

Post a Comment