Wednesday, October 20, 2010

Nilai Seorang Anak

Kerana artikel ini penuh dengan pengajaran, saya copy dari laman web iluvislam, tulisan Umar Al-Fateh...semoga rakan-rakan yang membacanya dapat sama2 mengambil iktibar dan pengajarannya.

Jom baca.....

Semalam merupakan hari pertama saya membuat praktikal di hospital. Di Rusia, untuk tahun kedua perubatan, disebabkan masih tidak banyak yang dipelajari, maka sukatan untuk praktikal adalah membuat kerja-kerja yang berkaitan dengan kejururawatan. Semua rakan-rakan telah pulang ke Malaysia menikmati cuti indah bersama keluarga, hanya saya yang gatal kaki untuk cuba mencari pengalaman di sini.

Sepanjang satu hari semalam, hanya satu yang mahu dikongsi. Ceritanya begini.

Jururawat memanggil kami (saya dan seorang lagi pelajar), untuk membantunya membersihkan badan-badan pesakit. Ketika sudah selesai dua tiga orang pesakit, kami mendekati seorang tua, yang berselimut. Ketika kami sampai, di bilik tersebut ada 4 orang pesakit yang lain turut menempati bersama di bilik tersebut.

Jururawat itu, menarik kain selimut yang menyelimuti badan pakcik tua ini, dan dengan itu jugalah, keluar bauan yang sungguh memedihkan hidung. Kami dapati, katil pakcik ini penuh dengan najis (tahi). Hanya Allah yang tahu bau dia macam mana. Ketika ini, dua orang pesakit keluar dari bilik ini untuk duduk di luar, tidak tahan bau yang dihasilkan. Jururawat meminta pakcik ini untuk turun dari katil, dan digagahi oleh seorang pelajar lagi. Saya tidak berani mendekati, hanya memerhati apa yang dilakukan.

Kerja-kerja pembersihan dilakukan, ketika sedang berdiri ini, pakcik tua ini, yang kakinya tidak gagah untuk berdiri, yang ditongkat oleh pelajar, telah membuang air besar di situ juga. Kami yang ada di situ hanya pasrah. Saya hanya membantu menarik kain-kain tilam dari katil. Jururawat menunggu sehingga pakcik ini selesai membuang hajatnya.

Jururawat memberitahu, bahawa pakcik ini selama dia sakit, tiada siapa yang menziarahinya. Dalam hati kecil, kesedihan membungkam jiwa saya. Jururawat ini, mula mengelap bahagian badan pakcik ini, pakcik ini megadu letih berdiri. Kemudian, kami menarik cadar dari tilam dan menggantikannya dengan yang baru. Badan pakcik tua itu dibersihkan sebelum dia dibenarkan baring kembali.

Selesai itu, lantai dibersihkan dari najis yang dibuang oleh pakcik ini. Setelah segalanya selesai, pakcik tua diberikan baju untuk dipakai semula.

Setelah selesai semua sekali, kami beredar dari bilik tersebut. Saya mengambil tempat di bilik rehat. Hati betul-betul terasa. Merasakan bahwa begitu berharganya seorang anak apabila ibubapa sudah sampai di usia seperti pakcik itu.

Ketika menulis ini, tidak tahu bagaimana mahu mengungkap perasaan ketika itu. Dalam hati hanya berdoa:

"Ya Allah, kau matikanlah daku sebelum sempat aku menderhaka kepada kedua ibu bapaku, dan jika kau anugerahiku isteri dan zuriat, kau matikanlah daku sebelum sempat mereka derhaka kepadaku."

Balik petang itu dengan seribu satu perasaan gelisah. Gelisah jika diri berada di situasi anak-anak pakcik itu, tidak bersabar malah meninggalkan ibubapa di rumah pesakit. Gelisah jika anugerah isteri dan anak-anak, jadi seperti pakcik itu. Mudah-mudahan diri ini dijauhkan dari segala yang pakcik itu hadapi.

*****

Arzalil 'umur (surah al-hajj:5) - waktu di mana seseorang sudah hilang kewarasan akal, seperti mana seorang bayi kecil. Di waktu ini, semua ciri-ciri budak kecil ada pada lelaki berumur. Kebersihan dirinya, semuanya bergantung kepada orang lain untuk menguruskannya.
Moga-moga diriku dijauhkan dari tahap waktu umur ini.

Volgina Street, Konkova,
117437,Moscow.

4 comments:

  1. mmg takut klu jadi macam tue.. kiter sebagai ibu dan bapa nie kena beri pendidikan yang sebaik mungkin supaya kelak xkan ada perkara2 sebegitu.. kiter xtau nasib kiter yang akan datang..

    ReplyDelete
  2. sbb itu kita jgn sia2kan anak, coz sy pernah terbaca...anak2 kelak bila dah besar, dia akan layan kt sepertimana kt layan dia time dia kecil dulu. selebihnya kita serah kepada Allah...

    ReplyDelete
  3. huhuhuhu sedih nye baca...

    tp dr kecik kite kene jd ibu bapa , dh beso skit kene jd kawan kt anak2 kite.. kan ?

    ReplyDelete
  4. ya ya...ikut kaedah rasulullah dlm mndidik anak..dah remaja jdkan anak seperti kawan.

    ReplyDelete