Thursday, July 8, 2010

Khasiat Badam


Menikmati snek memang suatu yang menyeronokkan dan mengasyikkan terutama ketika bersantai.

Ramai orang takut untuk mengambil badam atau almond. Begitu juga dengan jenis-jenis kekacang yang lain kerana kandungan lemaknya yang tinggi.


Sebenarnya anda tidak perlu takut mengambil badam kerana walaupun badam mengandungi kuantiti lemak yang tinggi, namun 90% dari lemak dalam badam adalah lemak taktepu (unsaturated fat) yang badan anda perlukan. Kandungan lemak mono taktepu (monounsaturated fat) yang tinggi dalam badam sepertimana terdapat di dalam minyak zaitun membuatkan badam menjadi senjata hebat bagi memerangi kolesterol LDL di dalam badan anda.

Tahukah anda badam adalah makanan seimbang dan paling tinggi khasiat di kalangan kekacang?


Badam mengandungi protein, serat, kalsium, magnesium, kalium, zinc, selenium, kuprum, phosphorus, biotin, riboflavin, niacin, besi, vitamin E serta antioksida lain yang tinggi. Contohnya, segenggam badam (35gm), dapat membekalkan 45% dari keperluan harian Vitamin E dan Manganese. Sumbangan beberapa nutrient dari segenggam badam adalah seperti paparan graf di sebelah.

Di bahagian selaput biji badam sahaja terdapat sekurang-kurangnya 20 jenis flavonoids (antioksida) utama. Gandingan beraneka flavonoids dan vitamin E menjadikan badam suatu makanan yang amat berkhasiat sekali bagi memerangi berbagai masalah kesihatan.

Badam Mengurangkan Paras Kolesterol, Merendahkan Risiko Darah Tinggi dan Serangan Jantung

Satu kajian yang dijalankan di University of Toronto ke atas 27 pesakit yang mempunyai paras kolesterol yang tinggi menunjukkan pengambilan purata 74gm (2 genggam) badam setiap hari selama sebulan telah berjaya menurunkan 9.4% daripada paras kolesterol di dalam badan mereka. Nisbah LDL(kolesterol jahat)/HDL(kolesterol baik) didapati menurun sebanyak 12%. Penurunan nisbah ini menunjukkan menurunnya risiko serangan jantung (cardiovascular).

Asid folik yang terdapat di dalam badam dipercayai dapat menurunkan paras homocystein, iaitu sejenis asid amino yang boleh menyebabkan saluran darah menjadi sempit; dengan itu juga mengurangkan risiko penyakit jantung dan darah tinggi.

34.5gm badam (segenggam) mengandungi 99mg magnesium (24.7% dari keperluan harian)serta 257mg kalium (potassium).

Magnesium berperanan melembutkan saluran darah dan dengan itu pengaliran darah, oksigen serta nutrient di dalam badan berjalan dengan elok. Kajian menunjukkan kekurangan magnesium bukan sahaja boleh menyebabkan serangan jantung, tetapi kekurangan magnesium selepas serangan jantung boleh menyebabkan kecederaan (radikal bebas) pada jantung.

Kalium adalah penting untuk sistem transmisi saraf dan otot. Ia amat penting di dalam mengawal tekanan darah serta perjalanan jantung. Pengawalan tekanan darah serta jantung menjadi lebih berkesan dengan badam kerana kandungan sodium yang rendah (hanya 0.3mg bagi setiap suku cawan badam).

Badam Menghalang Obesiti (Kegemukan)

Di dalam satu kajian yang pernah disiarkan di dalam International Journal of Obesity and Related Metabolic Disorders, dilaporkan bahawa diet yang diperkaya dengan badam telah berjaya mengatasi masalah obesiti jauh lebih berkesan dibandingkan dengan diet berkalori rendah dari kabohidrat kompleks.

Kajian tersebut melibatkan 65 orang dewasa obes. Mereka dibahagi kepada 2 kumpulan. Kedua-dua kumpulan dibekalkan dengan diet yang sama jumlah kalori serta proteinnya.

Kumpulan pertama diberi diet berkalori rendah terdiri dari karbohaidrat kompleks. Kumpulan kedua juga diberi diet berkalori rendah yang di perkayakan dengan badam (2 genggam sehari).

Selepas 6 bulan di dapati kumpulan yang dietnya diperkaya dengan badam mengatasi kumpulan berdiet karbohaidrat dengan 64% dalam pengurangan berat badan, 56% dalam lilitan pinggang, 50% dalam pengurangan lemak.

Perbandingan keputusan bagi kedua-dua kumpulan dapat anda saksikan pada graf di bawah.

Badam Meredakan Diabetes

Di dalam suatu kajian yang telah disiarkan di dalam The Journal of Nutrition, badam telah ditambah kepada diet sekumpulan pengidap diabetes tahap ke-2.

Keputusan ujian menunjukkan diet dengan badam telah menurunkan glycemic response dan insulin response. Kumpulan yang mengambil diet bersama badam ini telah menunjukkan penurunan kebergantungan kepada ubatan.

Ini bermakna dengan mengambil badam, masalah diabetes dapat dikurangkan.

Badam Membantu Menghalang Batu Karang

Kajian dan pengumpulan data ke atas wanita selama 20 tahun oleh ‘Nurses’ Health Study’ menunjukkan wanita yang memakan sekurang-kurangnya 1oz (30gm) kekacang atau mentega kacang dalam seminggu mengalami penurunan 25% risiko batu karang.

Badam Menghalang Osteoporosis

Badam juga dikatakan dapat menghalang osteoporosis. 30gm badam (25-30 biji) mempunyai kandungan kalsium sama seperti terdapat dari 1/4 cawan susu. Kalsium amat berguna bagi menghalang osteoporosis.

Tahukah anda diet kurang kalsium boleh mecetuskan risiko barah usus?

Badam untuk Wanita Hamil

Almondnuts Kandungan folate yang tinggi di dalam badam amat berguna sekali bagi wanita yang sedang hamil. Folate adalah penting bagi mengelakkan dari kecacatan pada bayi ketika hamil.

Badam Mengurangkan Risiko Berbagai Penyakit

Beberapa kajian juga menunjukkan bahawa beberapa jenis kekacang, terutamanya badam, dapat mengurangkan risiko barah, diabetes, nyanyok (Alzheimer’s disease) dan beberapa penyakit kronik yang lain.

Dalam satu kajian yang telah disiarkan di dalam ‘American Journal of Clinical Nutrition’, dilaporkan bahawa badam berupaya menurunkan tahap kolesterol setanding dengan kesan dari penggunaan dadah ’statin’. Kajian seterusnya pula mendedahkan bahawa badam setanding dengan dadah ’statin’ dalam mengurangkan tahap protein ‘C-reactive’ yang merosakkan ateri.

Terdapat berbagai lagi khasiat badam yang tidak dapat disiarkan di sini. Selain tinggi khasiat, badam juga mempunyai rasa yang sedap. Berbagai cara orang menggunakan badam dalam masakan; daripada snek sehinggalah kepada makanan berat. Oleh itu jadikanlah badam sebahagian daripada diet anda. Semuga anda bertambah sihat, ceria serta berbahagia.

p.s : Jom minum masad cafe..ada badam, madu, kismis dan habbatus sauda'

Sumber: Internet




No comments:

Post a Comment